arena

Guardiola tidak tertekan

Oleh AFP

PEP Guardiola menafikan laporan bahawa dia melanggar klausa dalam kontrak di Manchester City yang mungkin membolehkan beliau meninggalkan juara Liga Perdana itu pada penghujung musim ini.

Warga Sepanyol itu menandatangani perjanjian tahun lalu untuk kekal di Stadium Etihad sehingga 2021, tapi laporan menyatakan ia turut membabitkan pilihan yang membenarkan Guardiola untuk meninggalkan kelab itu 12 bulan lebih awal.

Spekulasi mengenai masa depannya menjadi tanda tanya dengan City ketinggalan 14 mata di belakang pendahulu liga Liverpool.

“Tidak. Ia tidak benar.” kata Guardiola pada sidang media pra perlawanan apabila ditanya mengenai akan melanggar syarat keluar.

“Saya bercakap mengenainya beberapa minggu lalu, mengenai keinginan saya untuk kelab ini.”

Bulan lalu bos City, di mana pasukan kendaliannya berdepan Arsenal pada Ahad, menjelaskan komitmennya bersama kelab itu.

“Saya mahu kekal. Saya tidak mempunyai sebab untuk meninggalkan kelab,” katanya.

“Saya sangat berpuas hati untuk bekerja dengan kelab ini, dengan pemain ini dan jika orang ramai fikir saya akan meletak jawatan untuk keputusan ini.. mereka tidak mengenali saya.

“Saya suka berdepan cabaran ini, saya suka untuk berada di posisi ini. Jika kelab mahukan (saya) musim depan saya mahu berada di sini 100 peratus.

“Saya mahu tinggal di bandar ini kerana saya mengenali orang tersayang di sini dan saya mahu bekerja dan hidup bersama mereka dan saya mahu berada di sini.”

Disiarkan pada: December 14, 2019 @ 9:07am
d