arena

Kedah ikat Amin Nazari

Oleh Izzali Ismail

TEKA-teki mengenai pemain import kelima Kedah akhirnya terjawab apabila Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) mengumumkan bekas pemain Ratchaburi FC yang juga pemain kebangsaan Filipina, Amin Adam Lazarte Nazari atau mesra disapa Amin Nazari sebagai pemain skuad Lang Merah untuk musim depan.

Pemain yang berusia 26 tahun dan kelahiran Sweden serta memiliki kerakyatan Filipina ini bakal melengkapkan kuota import Asia untuk Kedah dan beraksi di posisi tengah.

Menurut kenyataan rasmi yang dikeluarkan oleh media KFA, Naib Presiden KFA Anas Hafiz Mustaffa berkata, pihak pengurusan tertinggi KFA kini memasuki fasa akhir dalam persiapan bagi melengkapkan senarai pemain skuad Lang Merah.

"Ketika pelbagai desas-desus berkenaan kuota pemain import Asia, saya dan barisan kejurulatihan pasukan yang diketuai oleh Aidil Sharin Sahak mengambil sedikit masa dalam membuat keputusan yang teliti bagi memilih seorang ‘Jeneral’ di bahagian tengah untuk melengkapkan slot terakhir pemain import.” katanya.

Menurutnya, Amin Nazari dijangka tiba di Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim (LTSAH) Alor Setar pada jam 2.30 petang esok.

Untuk rekod Amin Nazari telah memulakan karier di Sweden dengan menyertai kelab Malmo FF pada 2011 dan kemudian menyertai kelab Assyriska FF pada 2013.

Bermula 2015 dia beraksi bersama kelab ternama Norway, Fredrikstad Fotballklubb dan kemudian kembali beraksi di Sweden bersama kelab Falkenbergs FF pada 2016 dan kemudian menyertai kelab liga Finland iaitu IFK Mariehamn sebelum ke Asia Tenggara untuk bersama kelab Liga 1 Thailand, Ratchaburi FC pada 2019.

Sementara itu, KFA juga turut mengumumkan kemasukan seorang lagi penjaga gol baharu Mohd Azri Abdul Ghani bagi memantapkan lagi persiapan serta perancangan gawang Kedah untuk musim depan.

Penjaga gol skuad remaja kebangsaan, Mohd Azri Abdul Ghani, 20 tahun, berasal dari Kelantan dan pernah beraksi bersama pasukan Bawah 19 tahun Kebangsaan serta kelab Felda United FC.

Disiarkan pada: December 14, 2019 @ 1:18pm
d