arena

'Baik tak payah janji...'

Oleh Syazwan Msar

“JIKA tidak mampu kotakan janji lebih baik maklumkan lebih awal.”

Itu antara peringatan sinis daripada Setiausaha Kehormat Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) Asmirul Anuar Aris apabila Liga Bolasepak Malaysia (MFL) sekali lagi mungkir janji dengan gagal membayar baki RM1.5 juta untuk pasukan Liga Super dan RM500,000 kepada skuad Liga Perdana.

Asmirul berkata, perkara itu sudah dijangka sejak awal lagi apabila badan pentadbir Liga Malaysia gagal membuat pembayaran hak penyiaran pada waktu yang ditetapkan.

Beliau berkata, ketiadaan bayaran itu jelas mengganggu perancangan pasukan untuk membentuk skuad lebih mantap musim depan.

“Saya sudah jangka perkara ini akan berlaku lebih-lebih lagi apabila timbul pelbagai masalah, sekali gus yang menerima kesannya adalah pasukan negeri.

“Lebih baik beritahu awal tidak mampu untuk membuat pembayaran bukannya ketika pasukan sedang sibuk melakukan persiapan untuk membentuk pasukan.

“Situasi ini sememangnya menjejaskan persiapan skuad Helang Merah kerana kami sudah memasukkan peruntukan itu untuk digunakan bagi tujuan tertentu,” katanya ketika dihubungi Arena Metro, semalam.

Sementara itu, Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA) Nokman Mustaffa berkata, MFL seharusnya lebih bersikap terbuka dengan memberitahu situasi sebenar kewangan atau masalah yang dihadapi supaya pasukan liga Malaysia lebih memahami dan membuat persiapan awal.

“Jika diikutkan, perkara ini tidak memberi kesan teruk kepada KLFA dalam menyediakan pasukan lebih mantap musim depan namun MFL perlu lebih terbuka dengan menjelaskan kedudukan kewangan bagi mudah kepada kami memahami.

“Situasi ini memang sudah dijangka dan berharap MFL mencari alternatif bagi memastikan lebih banyak tajaan musim depan,” katanya.

Disiarkan pada: December 15, 2019 @ 6:00am
d