arena

'Tidak mahu ubi muda berkarat...'

Oleh Syazwan Msar

MELIHAT pasukan feeder mampu menjadi lubuk dalam menghasilkan ‘ubi baru’ memberi ilham kepada Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA) untuk berbuat demikian pada masa akan datang.

Setiausaha Agung KLFA, Nokman Mustaffa berkata, skuad The City Boys mempunyai ramai pelapis yang hebat pada masa hadapan dan mahu bakat mereka tidak disiakan dengan hanya memanaskan bangku simpanan saja.

Beliau berkata, menerusi penubuhan pasukan feeder, bakat pemain muda terbabit tidak akan berkarat malah mereka menjadi aset berharga untuk pasukan utama nanti.

“Kami tidak mahu lagi bergantung kepada pemain luar menyebabkan mengambil inisiatif mahu menubuhkan pasukan feeder yang berperanan membangunkan pemain muda dengan lebih sistematik.

“Ada antara pemain muda yang berbakat ketika ini tidak mendapat pendedahan secukupnya sekali gus menganggu perkembangan mereka terutama untuk beraksi lebih cemerlang,” katanya, ketika dihubungi Arena Metro, hari ini.

Selain itu, Nokman berkata, pihaknya akan berbincang dengan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) bagi mendapatkan nasihat berkaitan penubuhan kelab pembangunan.

“Kami perlu mengorak langkah dengan meningkatkan lagi program pembangunan akar umbi bagi memastikan lebih ramai pemain berkebolehan membarisi skuad utama pada masa akan datang,” katanya.

Disiarkan pada: December 15, 2019 @ 7:39pm
d