arena

PSV pecat Van Bommel

Oleh Reuters

PSV Eindhoven memecat pengurusnya Mark van Bommel berikutan keputusan yang mengecewakan sejak kebelakangan ini, menurut kenyataan kelab yang bersaing di liga utama Belanda itu.

PSV, yang dikalahkan 1-3 kepada seteru utama Feyenoord dalam liga pada Ahad, berada di kedudukan ke empat dalam carta dengan 31 mata, 10 mata ketinggalan pasukan di tempat pertama Ajax Amsterdam, yang mempunyai 41 mata sama dengan AZ Alkmaar di tempat kedua.

Van Bommel yang membimbing PSV sejak Jun tahun lalu, meninggalkan pasukan selepas mencatat enam kekalahan, empat seri dan dua kemenangan dalam 12 perlawanan terakhir di semua kejohanan.

“Prestasi dan keputusan di luar jangkaan yang diharapkan di PSV,” kata Pengurus Besar Kelab itu, Toon Gerbrands dalam satu kenyataan.

“Perlawanan adalah detik pengukur namun kami juga mengikuti rapat mengenai perkembangan pasukan.

“Berikutan beberapa keputusan dengan status terkini dan sekitar pasukan utama, kami tampil dengan keputusan yang sukar ini. Kami semua sudah berusaha keras untuk mengubah keadaan namun gagal melakukannya.”

PSV berkata buat masa ini mereka akan melantik pengganti sementara Van Bommel.

Disiarkan pada: December 16, 2019 @ 8:25pm
d