arena

Zaha selamat maruah Palace

Oleh AFP

GOL penyamaan Wilfried Zaha membantu Crystal Palace melonjak ke tangga kesembilan Liga Perdana Inggeris ketika mereka berkongsi mata selepas seri 1-1 di laman sendiri menentang Brighton, awal pagi tadi.

Neal Maupay membantu pelawat mendahului pada minit ke-54 namun bintang Palace, Zaha menyamakan kedudukan buat Eagles menentang Seagulls dengan gol solo mengagumkan 15 minit sebelum tamat di Selhurst Park.

Palace kini melonjak mengatasi pencabar London, Arsenal dalam carta dan Zaha bangga dengan cara pasukannya kekal bersaing menentang Brighton yang lebih banyak menguasai pegangan bola.

“Ia perlawanan besar buat kedua-dua pasukan dan saya bangga kami mampu bangkit – jika anda tidak boleh menang, jangan kalah,” kata Zaha kepada Sky Sports.

Brighton kekal di tangga ke-13, lima mata di atas zon penyingkiran dan pengurus Graham Potter gembira dengan persembahan terbaru kelab pantai selatan itu.

“Persembahan amat bagus... Anda tidak boleh mengawal permainan di gelanggang lawan lebih daripada itu,” kata Potter sebelum menambah: “Kami sedar jika ada satu sentuhan seorang pemain yang amat bagus anda boleh dihukum.

“Tugas kami adalah mengumpul mata tapi sedar pertandingan ini terlalu sengit. Kami cuba meningkat dan lihat di mana kedudukan kami.”

Disiarkan pada: December 17, 2019 @ 7:37am
d