arena

Dua gol saat akhir lonjak Lazio

Oleh AFP

LAZIO menjaringkan dua gol pada masa kecederaan untuk menang 2-1 di Cagliari pada aksi Serie A Itali awal pagi tadi sekali gus meraih kemenangan kelapan berturut-turut.

Dalam pertarungan antara pasukan yang memulakan hujung minggu di tangga ketiga dan keempat, Lazio kelihatan tewas dalam tempoh 90 minit.

Giovanni Simeone membuka tirai jaringan buat Cagliari pada minit kesembilan dengan rembatan voli mengagumkan dari sebelah kiri.

Lazio kelihatan lebih berbahaya selepas itu namun kelab dari Sardinia itu berjaya mempertahankan kedudukan hinggalah minit kedua masa kecederaan apabila Luis Alberto merembat masuk dari penjuru kotak penalti.

Pada minit ketujuh masa kecederaan Felipe Caicedo menanduk masuk gol kemenangan.

Kemenangan itu menyaksikan Lazio ketinggalan tiga mata di belakang pendahulu Inter Milan dan pasukan tangga kedua Juventus.

Lazio kini empat mata di depan musuh setempat AS Roma manakala Cagliari merudum ke tangga kelima, tiga mata lagi di belakang selepas kekalahan pertama mereka sejak minggu kedua musim.

Disiarkan pada: December 17, 2019 @ 7:56am
d