arena

Badan di Doha, hati di Villa

Oleh AFP

LIVERPOOL berada di Doha menghadapi separuh akhir Piala Kelab Dunia menentang Monterrey dari Mexico, namun sebelum perlawanan itu Juergen Klopp boleh mengintai potensi lawan pada final selain memantau keputusan pasukan kedua kelab Anfield itu bagi aksi Piala Liga awal pagi esok.

Pendahulu Liga Perdana Inggeris itu berdepan situasi pelik terpaksa bermain dua perlawanan dalam tempoh dua hari di dua benua, yang terpisah hampir 7,000 kilometer, dengan aksi suku akhir Piala Liga di Aston Villa disusuli dengan pertembungan menentang pemenang Liga Juara-Juara Concacaf di Qatar malam esok.

Jurulatih B-23 kelab itu, Neil Critchley, akan mengendalikan pasukan muda Liverpool menentang Villa manakala pengurus Klopp dan pemain bintangnya tiba di Doha Ahad lalu mengintai peluang menamatkan tahun dengan bergaya memenangi Piala Kelab Dunia buat julung kali.

Juara Copa Libertadores dari Brazil, Flamengo, bertemu juara Asia, Al Hilal dari Arab Saudi pada separuh akhir pertama di Stadium Antarabangsa Khalifa awal pagi esok dengan aksi Piala Liga Liverpool dua jam kemudian.

“Malam esok kami bermula dengan menyaksikan satu lagi separuh akhir secara langsung di stadium, saya fikir ia boleh dilakukan. Kemudian kami akan meninggalkan stadium lebih awal dan duduk di sini di depan televisyen untuk menyaksikan perlawanan,” kata Klopp dalam laman web rasmi Liverpool.

“Aston Villa menjadi pilihan utama, ia jelas, tapi siapa peduli? Ia bola sepak dan bola sepak bergolek ke setiap arah, ia amat menarik.”

Liverpool tiba di Qatar tanpa pemain pertahanan yang cedera Dejan Lovren selain Georginio Wijnaldum, yang dikeluarkan ketika menang 2-0 ke atas Watford, Sabtu lalu.

Pertahanan kanan Wales, Neco Williams dan pemain tengah Curtis Jones, kedua-duanya berusia 18 tahun, pada awalnya berada dalam pasukan menentang Villa namun sebaliknya dipanggil Klopp untuk pergi ke Qatar.

Monterrey layak ke separuh akhir selepas menang 3-2 ke atas Al-Sadd, yang dilatih legenda Barcelona, Xavi Hernandez, Sabtu lalu.

Disiarkan pada: December 17, 2019 @ 8:24am
d