arena

City tak halang Arteta sertai Arsenal

Oleh AFP

MANCHESTER City tidak akan menghalang Mikel Arteta jika beliau mahu menjadi pengurus baharu Arsenal, menurut laporan beberapa media Britain semalam.

Laporan itu menambah ketika juara Liga Perdana Inggeris, City tidak begitu gembira dengan pertanyaan rasmi mengenai Arteta, kini penolong pengurus Pep Guardiola, mereka tidak akan menyekat pemain tengah Sepanyol itu menyertai Arsenal.

Arteta bermain buat kelab utara London, Arsenal dan beliau turut dikaitkan dengan kekosongan jawatan pengurus di kelab pencabar Liga Perdana, Everton, satu lagi bekas kelabnya.

Namun spekulasi memuncak Arteta mungkin kembali ke utara London sebagai pengganti bos Gunners yang dipecat, Unai Emery apabila pengarah urusan Vinai Venkatesham dilihat berada di luar rumahnya petang semalam.

City menang 3-0 di Arsenal Ahad lalu namun laporan menyebut tiada sebarang pertanyaan mengenai Arteta apabila pegawai kedua-dua kelab bertemu ketika perlawanan itu.

Difahamkan dua mesyuarat berlangsung dan City kurang gembira kelab London itu tidak meminta kebenaran untuk bercakap dengan Arteta.

Kekalahan itu menyaksikan Arsenal menghampiri zon penyingkiran dan bermakna pengurus sementara Freddie Ljungberg hanya menang satu daripada empat perlawanan liga sejak bekas pemain tengah Gunners itu dibawa masuk susulan pemecatan Emery bulan lalu.

Arsenal hanya menang sekali dalam 12 perlawanan terakhir bagi semua pertandingan.

Disiarkan pada: December 17, 2019 @ 2:08pm
d