arena

Hargai kebangkitan mereka - A'amar

Oleh Ferzalfie Fauzi

KEBANGKITAN yang dipamerkan oleh pemain muda negara dalam acara badminton di temasya Sukan Sea Filipina harus dipuji dan dihargai.

Presiden Persatuan Badminton Perlis (PBPs) A'amar Hashim berkata, pencapaian dipamerkan oleh pemain muda negara terutama perseorangan wanita sangat membanggakan kem negara.

“Prestasi S Kisona sangat membanggakan kontinjen negara, sedangkan dia tidak diletakkan sebagai pemain pilihan," katanya.

Menurutnya, sejarah sudah tercipta di temasya berkenaan apabila Malaysia muncul juara keseluruhan dalam acara badminton.

"Dengan kutipan tiga emas ia membolehkan kem badminton negara memecahkan rekod sejak 1975. Presiden BAM, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria mengambil langkah berani sejak menerajui badan induk ini apabila mengenengahkan barisan pemain muda.

"Saya menyokong penuh kenyataan Norza sebelum ini bagi menangkis dakwaan luar bahawa kem badminton negara hanya bernasib baik di Sukan Sea kali ini," katanya.

A'amar yang juga Naib Presiden BAM, menyeru supaya semua pihak memandang dari sudut positif dengan kejayaan diraih pemain muda negara.

Disiarkan pada: December 17, 2019 @ 11:23pm
d