arena

Ragbi B-19 intai aksi Divisyen Satu

Oleh Meor Riduwan Meor Ahmad

   

MISI besar skuad ragbi bawah 19 tahun negara menewaskan Emiriah Arab Bersatu (UAE) dalam Kejohanan Ragbi Asia B-19 Divisyen Dua hari ini, sekali gus naik ke Divisyen Satu musim depan.

Pengurus pasukan, Azlan Ishak berkata, keyakinan itu berasaskan persiapan rapi dilakukan termasuk mengadakan perlawanan persahabatan di dalam dan luar negara.

Menurutnya, persiapan dibuat selepas tewas kepada skuad UAE pada kejohanan sama dua tahun lalu di Filipina.

“Sebab itu dari awal kita bersedia, kaji video perlawanan lama di mana kelemahan dan kekuatan mereka.

“Walaupun skuad UAE dibarisi pemain baharu, beza skil dan taktikal permainan tidak banyak. Melihat kepada persembahan pemain kita dalam perlawanan pertama, saya optimis kita mampu menyaingi mereka,” katanya ketika dihubungi.

Dalam perlawanan pertama, skuad bimbingan ketua jurulatih, Mohd Farid Syazwan Abu Bakar terikat 12-12 dengan UAE di Padang A, Universiti Putra Malaysia (UPM).

Kedua-dua pasukan perlu beraksi dalam dua perlawanan sebelum kemenangan ditentukan menerusi agregat.

“Saya berharap pemain bijak manfaatkan bermain di hadapan penyokong dan tempat sendiri untuk menang.

“Pemain kita memang bersedia sepenuhnya malah bebas daripada sebarang kecederaan,” kata Azlan.

Mengulas lanjut, beliau tidak menafikan kelebihan pada skuad UAE yang dibarisi pemain asing yang bertubuh besar dan memiliki kelajuan.

“Selama ini pemain mereka walaupun bertubuh besar tapi tidak laju. Namun pada 2017 mereka buat kejutan dengan menghantar pemain bukan saja memiliki fizikal besar, malah pantas. Sebab itu kita bersedia sepenuhnya kali ini,” katanya.

Menurut Azlan, selama ini ranking skuad ragbi B-19 negara berada pada kedudukan kedua dan ketiga terbaik Asia dan bersaing dalam Divisyen Satu.

“Tapi tahun lalu, kita menarik diri dan automatik kedudukan pasukan jatuh ke Divisyen Dua dan terpaksa berentap dengan UAE yang juga juara 2017 dan tidak bertanding tahun lalu,” katanya.

Disiarkan pada: December 18, 2019 @ 6:30am
d