arena

Budak Liverpool kena belasah

Oleh Reuters

ASTON Villa mengalahkan pasukan termuda Liverpool 5-0 ketika dua gol Jonathan Kodjia membantu mereka layak ke separuh akhir Piala Liga Inggeris pada malam yang agak pelik di Villa Park, awal pagi tadi.

Dengan pendahulu Liga Perdana, Liverpool beraksi pada Piala Kelab Dunia 24 jam kemudian di Doha, mereka menurunkan kesebelasan utama yang terdiri daripada pemain simpanan dan belia dengan purata usia 19.4, satu rekod kelab.

Ketika mereka bertindak baik menentang pasukan berpengalaman Villa, yang menyaksikan 10 perubahan pemain berbanding ketika kalah aksi Liga Perdana di tangan Sheffield United hujung minggu lalu, mereka menerima pengajaran pahit dalam kekalahan terbesar Liverpool pada pertandingan itu.

Pemain senior kelab Merseyside itu dan pengurus Juergen Klopp, menonton aksi di kaca TV di Qatar yang mana mereka berdepan Monterrey pada separuh akhir awal pagi esok, mungkin terpukau ketika pasukan itu menurunkan pemain berusia 16 tahun, Harvey Elliott yang mencuri tumpuan.

Namun Villa mendahului pada minit ke-14 apabila sepakan percuma Conor Hourihane melepasi benteng pertahanan serta menembusi jaring dengan Kodjia pada awalnya mendakwa menyentuh bola itu.

Morgan Boyes, seorang daripada lima pemain Liverpool yang kali pertama diturunkan, tertampan masuk sepakan percuma Ahmed Elmohamady melepasi penjaga golnya sendiri Caoimhin Kelleher tiga minit kemudian sebelum Kodjia yang berusia 30 tahun merembat masuk gol ketiga pada minit ke-37.

Kodjia, penyerang dari Ivory Coast, menjadikan kedudukan 4-0 dari jarak dekat sejurus sebelum rehat untuk menamatkan sisa-sisa cabaran lawan sekalipun Liverpool mencipta beberapa peluang baik selepas rehat dengan gerakan tersusun.

Villa menambah gol kelima pada masa kecederaan dengan pemain termahal Wesley yang juga pemain gantian melakukan penyudah menarik selepas mendapat umpanan Trezeguet.

Villa layak ke separuh akhir buat kali pertama sejak musim 2012-13.

Disiarkan pada: December 18, 2019 @ 7:47am
d