arena

Mohd Noor azam julang Melaka

Oleh Nazri Abu Bakar

PEMBANTU jurulatih Melaka United (MU), Mohd Noor Md Derus berazam mencurah segala pengalaman bagi membantu pencaturan terbaik skuad musim ini.

Baginya, pelantikan sebagai pembantu jurulatih kepada Zainal Abidin Hassan peluang baginya mengetengahkan segala ilmu sama ada sebagai bekas pemain kebangsaan, Terengganu, Sarawak dan Melaka untuk dimanfaat bersama.

Malah bekas ketua jurulatih Terengganu City FC (TCFC) terbabit mengakui ia kesempatan terbaik untuknya belajar daripada Zainal yang memiliki pengalaman luas dalam bidang kejurulatihan dan bekas pemain.

“Saya berterima kasih kepada pengurusan pasukan dan Zainal yang memberi ruang buat saya untuk turut sama membina skuad Hijau Putih kali ini. Justeru saya bertekad memberi yang terbaik memenuhi tugasan dan amanah diberikan.

“Apa pasti ianya amat mencabar dan perlu fokus yang tinggi dalam misi meraih kejayaan,” katanya.

Musim ini Mohd Noor mengendalikan skuad Piala Belia Melaka selepas membimbing TCFC dengan cemerlang sebelumnya.

Malah dia bertanggungjawab meletakkan kelab The Sharks itu muncul juara Liga FAM selepas menewaskan Selangor United 2-0 pada aksi final.

Selain Mohd Noor, Zainal turut dibantu bekas jurulatih Negeri Sembilan, Asri Ninggal dan Mazlan Wahid sebagai jurulatih penjaga gol.

Sementara Nidzam Adha Yusoff yang menjadi pembantu skuad kini membimbing Kuala Lumpur pada 2020.

Disiarkan pada: December 18, 2019 @ 6:57pm
d