arena

Fagiano lanjut kontrak Hadi [METROTV]

Oleh Firdaus Hashim

TEKA-teki mengenai masa depan Hadi Fayyadh Abdul Razak bersama kelab Fagiano Okayama akhirnya terjawab apabila kelab divisyen dua Liga Jepun (J2) itu melanjutkan kontrak penyerang muda skuad bawah (B-22) tahun negara.

Hadi, 19, yang diikat selama semusim oleh Fagiano pada Disember tahun lalu akan terus berada di negara Matahari Terbit itu buat musim kedua berturut-turut.

Berita gembira itu dikongsikan sendiri Pengarah Urusan Yakult Malaysia (M) Sdn Bhd, Hiroshi Hamada kepada Arena Metro yang selama ini banyak membantu mengembangkan karier Hadi terutama di Jepun.

Malah, Hamada yang sentiasa mengikuti rapat perkembangan Hadi mengakui gembira dengan kejayaan Hadi dan berharap akan lebih ramai lagi pemain muda tempatan mengikut jejak bekas tonggak Johor Darul Ta'zim II itu.

"Tahniah Hadi Fayyadh atas kejayaan melanjutkan kontrak dengan Fagiano Okayama. Tunjukkan pada semua keupayaan sebenar di stadium kelab musim depan," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Sebelum ini, masa depan Hadi menimbulkan tanda tanya apabila kelab J2 itu enggan mengulas mengenai kedudukannya ketika kontraknya bakal tamat 24 Disember ini.

Malah, ketika Arena Metro cuba mendapatkan pengesahan daripada pengarah besar kelab Fagiano Okayama, Tokyhiko Suzuki yang hadir ke ibu negara pada Oktober lalu, hanya mendedahkan nasib Hadi akan ditentukan selepas tamat saingan Liga Jepun pada Disember ini.

Berdasarkan kedudukan terakhir J2, Fagiano menamatkan saingan di tangga kesembilan daripada 22 pasukan dengan meraih 65 mata sepanjang musim ini.

Disiarkan pada: December 18, 2019 @ 7:57pm
d