arena

BAM sedia bantu Peng Soon

Oleh Ferzalfie Fauzi

PERSATUAN Badminton Malaysia (BAM) sedia memberi bantuan kepada pemain profesional, Chan Peng Soon yang mengalami lumpuh di bahagian muka.

Menurut Setiausaha Agung BAM, Datuk Kenny Goh, setakat ini mereka hanya menunggu Peng Soon untuk berjumpa atau menghubungi mereka terlebih dulu.

“Mungkin kami boleh memberi bantuan dengan mengesyorkan dia berjumpa dengan pihak Institut Sukan Negara (ISN) atau sebagainya,” katanya ketika dihubungi Arena Metro hari ini. Peng Soon sebelum ini mengakui sedikit terganggu selepas menghidap penyakit bell's palsy terutama ketika beraksi di dalam gelanggang.

Peng Soon-Liu Ying bukan saja gagal mencatat sebarang kemenangan di Jelajah Akhir Dunia di Guangzhou baru-baru ini malah tidak berjaya mencuri satu set sekali pun dalam tiga perlawanan.

Pemenang pingat perak Sukan Olimpik Rio itu berada pada landasan terbaik untuk melayakkan diri ke temasya yang sama tahun depan cuma berbeza kali ini mereka bergerak secara profesional.

Sementara itu, ditanya mengenai penilaian jurulatih dan pemain hujung bulan ini, Kenny berkata, semua hanya akan diketahui pada Januari.

Disiarkan pada: December 19, 2019 @ 12:14am
d