arena

Azri teruja kawal gawang Lang Merah

Oleh Izzali Ismail

PENJAGA gol muda negara, Azri Abdul Ghani mengakui penghijrahannya dari Felda United FC ke Kedah membuka peluang terbaiknya untuk membuktikan kebolehan bagi menghadapi musim 2020.

Dia yang beraksi cemerlang bersama skuad kebangsaan B-19 pada kejuaraan AFC 2018 lalu melihat tahap keserasiannya bersama Lang Merah meningkat dengan lebih cepat melalui usaha serta kerja keras dalam latihan.

"Melihat kepada corak latihan dijalankan Kedah pada masa ini, saya teruja dan cepat serasi.

Kalau kita tengok sesetengah pasukan mengambil masa hampir sebulan untuk dapatkan tempoh keserasian, tapi di Kedah ini semua pemain dapat mudah serasi dengan lebih cepat.

"Memang saya akui harus bersaing dengan penjaga gol lain seperti Ifwat Akmal dan Shahril Saari dan Asri Mohamad yang berpengalaman namun sebagai pemain muda saya bertekad mahu berusaha bersungguh-sungguh bagi meningkatkan keupayaan saya musim depan.

Penjaga gol berusia 20 tahun yang menjadikan Khairul Fahmi Che Mat sebagai idolanya berkata cabaran dalam saingan musim 2020 ini tidak semudah disangka memandangkan Kedah bakal menghadapi cabaran sengit di peringkat Liga Juara-Juara Asia (ACL) dan juga Liga Malaysia (Liga M).

Disiarkan pada: December 19, 2019 @ 7:55pm
d