arena

Ramai lagi pemain bakal 'meletup'

Oleh Syazwan Msar

USAH bimbang, ada lebih ramai lagi pemain seperti tonggak Bawah 18 Tahun (B-18) negara, Luqman Hakim Shamsudin bakal dilahirkan untuk tempoh sekurang-kurangnya dua atau tiga tahun akan datang.

Ia adalah impak daripada program pembangunan bola sepak di Akademi Mokhtar Dahari (AMD), apabila terdapat sekurang-kurangnya tiga atau empat pemain di setiap peringkat umur bakal ‘meletup’ seperti Luqman pada masa akan datang.

Pengurus Besar Akademi Mokhtar Dahari (AMD) Muhamad Yusuf Ibrahim berkata, pelatih yang berpotensi berkenaan kemungkinan sebenarnya lebih baik daripada Luqman berdasarkan kepada kematangan, kemampuan dan kemahiran yang mereka ada.

Katanya, Luqman adalah penanda aras kepada pelatih lain untuk dicapai atau menjadi lebih baik berdasarkan perkembangan positif yang ditunjuk mereka menerusi siri latihan dan perlawanan kompetitif.

“Jika bagi saya tidak mahu lahirkan pelatih seperti Luqman namun matlamat adalah lebih baik daripadanya sekali gus membuktikan program pembangunan AMD sentiasa menunjukkan peningkatan setiap tahun.

“Saya tidak boleh menyatakan secara terperinci mengenai identiti pelatih berkenaan namun apa yang boleh dikatakan setiap kategori peringkat umur dari 13 hingga 17 tahun ada sekurang-kurangnya empat mempunyai potensi.

“Namun, pemain yang bakal dilahirkan nanti tidaklah semestinya bahagian serangan kerana ada juga bagus di posisi tengah dan pertahanan,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Menurut Muhamad Yusuf, AMD mengutamakan kemahiran individu berbanding kejayaan pasukan kerana matlamat akademi adalah membentuk atau melahirkan pemain berkualiti yang mampu memberi impak besar.

“Oleh itu, jika mereka tidak berjaya menjuarai pertandingan bukanlah bermakna pelatih itu gagal. Perkara penting adalah peningkatan membabitkan kemahiran individu dan sifat matang mereka dalam menghadapi perlawanan kompetitif.

“Kami melihat banyak aspek terhadap pelatih AMD dan sudah terbukti apabila 90 peratus produk akademi ini mewakili negara dalam kejohanan Bawah 15 dan 18 tahun di peringkat antarabangsa baru-baru ini,” katanya.

Disiarkan pada: December 20, 2019 @ 6:00am
d