arena

Pecat Pochettino keputusan sukar

Oleh AFP

PENGERUSI Tottenham Daniel Levy berkata tindakan memecat Mauricio Pochettino adalah keputusan paling sukar dilakukannya dalam merombak pengurusan kelab namun masih membuka pintu buat pengendali kelahiran Argentina itu kembali menyertai mereka selepas ini.

Levy memecat Pochettino pad November selepas permulaan hambar musim ini, kurang enam bulan selepas beliau membimbing Spurs ke final Liga Juara-Juara.

Apabila ditanya sama ada ia rombakan pengurusan paling sukar dilakukan, Levy memberitahu: “Anda perlu memahaminya bahawa saya membentuk hubungan secara peribadi dengan Mauricio selama lebih lima tahun setengah.

“Ia bukan sesuatu yang saya mahukan. Secara peribadinya, ia amat sukar, saya memberitahu beliau perkara itu dan beliau faham.

“Beliau berada dalam kancah bola sepak sejak sekian lama, beliau faham. Ia bukan isu peribadi dan saya pasti beliau akan kembali lebih kuat dan berpeluang mengendalikan satu lagi kelab hebat.”

Ditanya sama ada Pochettino boleh kembali ke kelab itu pada masa depan, Levy berkata: “Mengapa tidak? Saya tidak pernah menutup pintu kepada sesiapa pun.”

Tatkala Arsenal dan Everton mengambil masa untuk mencari pengurus baru, Levy terus mengalih tumpuan kepada Jose Mourinho dalam tempoh kurang daripada 12 jam.

Pengendali dari Portugal itu berjaya mengubah nasib kelab, melonjakkan mereka hampir tiga mata menghampiri Chelsea di tangga keempat, lawan mereka awal pagi Isnin.

Disiarkan pada: December 20, 2019 @ 8:43am
d