arena

Zaqhwan buru gelaran ASB1000

Oleh BERNAMA

SASARAN mahu meraih gelaran juara bagi kelas ASB1000 pada Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) 2020, yang diumumkan pasukan Honda Asia-Dream Racing (HADR), tidak menggentarkan pelumba negara Zaqhwan Zaidi.

Sebaliknya, ia menaikan semangat dan menjadi sasaran peribadi buat pelumba berusia 24 tahun itu untuk memastikan impian pasukannya tercapai.

“Saya ambil ini sebagai cabaran untuk diri saya, walaupun dengan kategori baru iaitu ASB1000. Tapi saya akan cuba ambil gelaran juara musim depan. Motosikal pun baru, lebih berdaya saing.

“Saya yakin untuk menghadapi cabaran serta memberi cabaran yang lebih sengit kepada pelumba lain,” katanya.

Zaqhwan, juara dua kali kelas Supersport 600cc, akan menggunakan jentera Honda CBR1000RR-R iaitu jentera lumba dari siri CBR yang baru diperkenalkan pada Pertunjukan Motosikal Milan 2019.

Musim ini, Zaqhwan berada di kedudukan ketiga kelas ASB1000 pada ARRC, tempat ke-12 JSB1000 dan tempat ke-11 Suzuka 8 Jam.

Disiarkan pada: December 20, 2019 @ 8:17pm
d