arena

Tugas Arteta ubah nasib Gunners

Oleh AFP

MIKEL Arteta diberi tugas untuk mengubah nasib Arsenal selepas beliau dilantik sebagai ketua jurulatih kelab Liga Perdana Inggeris itu hari ini.

Warga Sepanyol berusia 37 tahun itu, yang bermain lebih 100 perlawanan buat Gunners antara 2011-16, menandatangani kontrak tiga setengah tahun sekali gus menamatkan tugasan selama tiga tahun sebagai penolong Pep Guardiola di Manchester City.

Arteta, yang akan diperkenalkan secara rasmi kepada wartawan lewat malam ini, menggantikan warga senegara Unai Emery, yang dipecat bulan lalu.

Bekas pemain tengah itu, yang akan berada di bangku penonton bagi perlawanan menentang satu lagi bekas kelabnya Everton malam esok, berdepan cabaran besar memandangkan Arsenal hanya menang sekali dalam 12 perlawanan – mengalahkan West Ham di bawah kendalian pengurus sementara Freddie Ljungberg.

“Ini satu penghormatan besar. Arsenal satu daripada kelab terbesar di dunia,” kata Arteta dalam satu kenyataan.

“Kami perlu bersaing merebut trofi yang ditawarkan dan ia diperjelaskan kepada saya dalam perbincangan dengan Stan dan Josh Kroenke (pemilik dan pengarah kelab) serta ahli lembaga pengarah kelab.

“Kami sedar kerja keras perlu dilakukan untuk meraih kejayaan itu tapi saya yakin kami akan melakukannya.

“Saya cukup realistik untuk mengetahui ia tidak akan berlaku semalaman tapi skuad semasa mempunyai banyak bakat selain bakat muda yang hadir dari akademi.”

Disiarkan pada: December 20, 2019 @ 11:46pm
d