arena

Puas dapat banggakan UKM

Oleh Ferzalfie Fauzi

SELEPAS berusaha keras dan mengorbankan masa serta tenaga, ketua pasukan Ultra Instinct, Ashif Halaj Abdul Majid berasa puas berjaya mengharumkan nama Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Ashif mengakui kejayaan merangkul kejuaraan kali kedua berturut-turut pada saingan Mobile Legend: Bang Bang (MLBB) Celcom XPAX Kejohanan e-Sukan Kampus (XPAX KEK) Semester 2 adalah hasil titik peluh mereka selama ini.

Pelajar jurusan Kejuteraan Mekanikal itu mengakui dia dan rakan sudah berusaha menggunakan pelbagai strategi dan akhirnya bukan hanya juara dalam saingan MLBB tetapi berjaya membolot hadiah keseluruhan biasiswa bernilai RM50,000.

“Tip untuk mengekalkan kejuaraan MLBB dan merangkul hadiah keseluruhan buat kali pertama adalah rajin berlatih serta tidak terlalu yakin selepas memenangi sesuatu perlawanan,” katanya ketika ditemui di UKM semalam.

Ashif bersama Nik Nazrin Shahzan Nik Adlin Fariz, Hazirie Abdul Rahim‪, Aiman Ahmad Ansary dan Azirool Fareed Sunder juga mengakui status sebagai penuntut universiti tidak menghalang mereka untuk berlatih sekerap mungkin.

“Jadual kami mudah saja iaitu menyelesaikan segala tugasan yang diberikan pensyarah dan tidak suka bertangguh.

“Sesetengah pelajar suka menangguhkan tugasan tapi kami mahu menyiapkannya secepat mungkin supaya mempunyai masa yang cukup untuk berlatih,” katanya.

Ditanya mengenai bermain permainan video mengganggu fokus pembelajaran, Ashif menegaskan ia sebenarnya menjadi medium untuknya berfikir dengan lebih cepat.

“Sebagai atlet e-Sukan saya tidak rasa apa yang saya minat ini mengganggu pelajaran kerana sebelum ini saya boleh saja meraih anugerah dekan. Ia sama seperti sukan lain cuma minat setiap orang berbeza,” katanya.

Turut membantu UKM meraih tempat keseluruhan terbaik adalah Madness Esports yang beraksi dalam saingan Player Unknown’s Battlegrounds (PUBG) Mobile.

Selain biasiswa bernilai RM50,000 tajaan Celcom XPAX untuk dikongsi bersama sembilan atlet itu mereka juga berjaya membawa pulang trofi.

Disiarkan pada: December 21, 2019 @ 12:08am
d