arena

'Dipenjara' janji manis

Oleh Syazwan Msar

JANJI kosong. Demikian tanggapan beberapa pemain terhadap pengurusan Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) selepas badan induk bola sepak negeri itu masih gagal melunaskan tunggakan gaji.

Antara tuntutan paling tinggi adalah bekas penjaga golnya Khairul Fahmi Che Mat berjumlah RM143,000.

Difahamkan selain Khairul Fahmi, KAFA turut berdepan tuntutan daripada beberapa bekas pemain seperti Mohd Daudsu Jamaluddin, Zairul Fitree Ishak dan Norhafiz Zamani Misbah membabitkan tunggakan lebih RM300,000.

Hal ini bermakna, KAFA perlu bersedia berdepan sebarang kemungkinan termasuk dikenakan tindakan daripada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) apabila Khairul Fahmi atau Apek memanjangkan perkara berkenaan kepada badan induk bolasepak terbabit untuk tindakan lanjut.

Perkara terbabit disahkan peguam kepada pemain itu, Zhafri Aminurrashid yang sudah menghantar surat kepada Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam selepas KAFA masih berdegil untuk melunaskan tuntutan Khairul Fahmi yang berjumlah RM143,423.

“Pada 26 September 2019, Jawatankuasa Status FAM sudah memutuskan bahawa KAFA perlu membayar RM143,423 kepada Khairul Fahmi.

“Namun, mereka masih gagal menyelesaikan tuntutan itu hinggalah tarikh akhir mereka perlu melakukan pembayaran seperti yang diarahkan Jawatankuasa Status FAM iaitu pada 26 Oktober lalu.

“Peguam sudah menulis kepada Setiausaha Agung FAM (Stuart Ramalingam) pada 13 Disember bagi membawa kes ini kepada peringkat Jawatankuasa Tatatertib untuk hukuman selanjutnya atas kegagalan KAFA mematuhi arahan perintah Jawatankuasa FAM,” katanya kepada Arena Metro, semalam.

Sebagai rekod, KAFA sering dibelenggu dengan masalah tunggakan gaji dan lebih merumitkan keadaan, mereka turut berdepan tuntutan daripada beberapa bekas pemain Kelantan yang sudahpun meninggalkan pasukan itu.

Malah, kedudukan kewangan yang meruncing menyaksikan mereka pernah dipotong tiga mata dan dikenakan sekatan perpindahan pemain pada jendela perpindahan kedua Liga Malaysia (Liga M) pada 2017.

Disiarkan pada: December 21, 2019 @ 6:00am
d