arena

'Saya bukan klon Mourinho'

Oleh AFP

FRANK Lampard menegaskan beliau enggan meniru gaya unik Jose Mourinho ketika pengendali Chelsea itu bertekad menewaskan bekas bosnya dalam aksi penting menentang Tottenham awal pagi Isnin.

Pertemuan pertama Liga Perdana Inggeris di antara Lampard dan Mourinho menjadi tajuk utama pertembungan hebat yang akan menentukan pasukan London manakah yang akan menikmati Krismas dalam kelompok empat teratas.

Pengurus Spurs Mourinho menggalas tugas penting dalam kebangkitan Lampard sebagai antara pemain terhebat Chelsea sepanjang zaman ketika kedua-duanya berada di Stamford Bridge.

Biarpun ketokohan Mourinho dalam bidang kejurulatihan terbukti selepas menjulang sejumlah trofi sepanjang kariernya selama 19 tahun, Lampard pula baru saja mengukir namanya dalam dunia kejurulatihan.

Bekas pemain tengah England itu berada dalam musim keduanya sebagai pengurus selepas meninggalkan kelab Liga Kejuaraan, Derby untuk mengendalikan Chelsea pada Julai.

Lampard mengakui Mourinho sebagai pembawa pengaruh besar terhadapnya sebagai pemain, namun dengan tugasnya sebagai pengurus, beliau akan menentukan haluannya sendiri daripada meniru gaya pengendali Portugal itu.

Ditanya mengenai pelajaran terpenting yang diambilnya ketika bekerja di bawah Mourinho, Lampard berkata: “Tiada satu pun, beliau jelas sekali pengurus yang baik dengan banyak tanggapan yang baik.

“Namun tiada satu perkara yang khusus yang saya belajar ketika berada dengannya, dan saya tidak mahu berjaya sebagai seorang klon atau apa saja.

“Saya gembira menentang Jose, bagi saya yang bermain di bawahnya, beliau membawa pengaruh besar terhadap karier saya.”

Disiarkan pada: December 21, 2019 @ 12:10pm
d