arena

Mourinho pujuk Vertonghen, Eriksen kekal

Oleh AFP

PENGURUS Tottenham, Jose Mourinho berharap Jan Vertonghen dan Christian Eriksen akan mengikut jejak langkah Toby Alderweireld untuk meneruskan karier di Spurs selepas hujung musim ini.

Alderweireld menamatkan spekulasi berpanjangan mengenai masa depannya apabila menandatangani kontrak baharu hingga 2023 semalam.

Vertonghen dan Eriksen hanya mempunyai baki lebih enam bulan dalam perjanjian mereka.

“Apabila saya tiba, kami mempunyai tiga pemain ternama yang berpotensi meningalkan kelab, kini kami tinggal dua pemain ternama berpotensi angkat kaki,” kata Mourinho kepada Sky Sports.

“Jika saya Jan atau Christian, saya akan kekal.

“Mereka sudah berada di sini terlalu lama, mereka menjadi nadi kelab dalam tempoh empat, lima tahun, transisi dari White Hart Lane ke stadium terbaik di dunia.

“Perspektif masa depan, visi kelab ini, jika saya menjadi mereka, saya akan menyatakan saya mahu menjadi sebahagian daripada perkara berikutnya.”

Alderweireld dan Vertonghan menjadi pemain utama sejak Mourinho mengambil alih sebulan lalu, namun Eriksen hanya bermula sekali pada aksi Liga Juara-Juara menentang Bayern Munich di tempat lawan.

“Satu-satunya perkara saya mahu katakan mengenai Christian adalah saya mahu dia menandatangani kontrak baharu,” ujar Mourinho.

Disiarkan pada: December 21, 2019 @ 11:59pm
d