arena

THT tak goyang...

Oleh Ferzalfie Fauzi

KEHADIRAN jurulatih berpengalaman, Dhaarma Raj Abdullah melonjakkan keyakinan Kelab Hoki Terengganu (THT) untuk memulakan saingan Liga Hoki Malaysia 2020 dengan mempertahankan Piala Sumbangsih yang akan berlangsung 10 Januari depan.

Selain faktor jurulatih, THT juga bakal menyandarkan harapan kepada empat tonggak import dari Korea Selatan dan Pakistan termasuk yang terbaru, Muhammad Umar Bhutta untuk berdepan Universiti Kuala Lumpur (UniKL) pada aksi pembuka tirai itu nanti.

Perlawanan sumbangsih berkenaan boleh dianggap sebagai ulangan apabila kedua-dua pasukan turut berada di pentas sama musim lalu dengan THT memenangi saingan menerusi penentuan shoot-out 3-1 selepas terikat 2-2 pada aksi sebenar.

Menurut ketua pasukan, Fitri Saari, perlawanan sumbangsih sangat penting buat mereka untuk meraih mata.

“Saya tahu UniKL agak kuat untuk musim depan. Kami tidak boleh memandang rendah keupayaan mereka. Apapun, sasaran kami adalah untuk memenangi Piala Sumbangsih,” katanya dalam sidang media di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil, semalam.

Kepakaran Dhaarma Raj yang juga bekas jurulatih skuad wanita kebangsaan juga sangat ditagih THT agar membolehkan mereka merampas semula gelaran liga.

“KPI (Indeks Prestasi Utama) tahun ini adalah untuk mengekalkan Piala TNB dan merebut gelaran liga. Saya rasa dengan kepakaran yang beliau ada ketika membimbing Malaysia... saya rasa kami boleh mencapainya,” kata Setiausaha THT, Rashidi Hashim.

Dalam pada itu, Fitri juga tidak sabar bekerjasama semula dengan Dhaarma Raj selepas kali terakhir dia bersama skuad kebangsaan.

“Ini kali pertama beliau mengendalikan THT... sebelum ini KLHC (Kuala Lumpur Hockey Club). Kami mengharapkan pengalamannya di liga,” katanya.

Disiarkan pada: December 22, 2019 @ 6:38am
d