arena

City puas lebur rekod Foxes

Oleh AFP

PENGENDALI Manchester City Pep Guardiola meluahkan pujian menggunung buat Kevin de Bruyne selepas pemain Belgium itu mempamerkan aksi dominan daripada kelab Liga Perdana Inggeris itu untuk merapatkan jurang kepada satu mata kepada pasukan di tangga kedua, Leicester dengan kemenangan 3-1 di Stadium Etihad.

Anak buah Brendan Rodgers tiba di Manchester dengan rekod tanpa kalah 11 perlawanan tetapi berjaya ditundukkan biarpun mendahului menerusi jaringan Jamie Vardy.

Riyad Mahrez segera memastikan City menyamakan kedudukan ke atas bekas kelabnya sebelum penalti Ilkay Gundogan dan jaringan Gabriel Jesus daripada hantaran De Bruyne membantu City merapatkan jurang dengan pendahulu liga Liverpool kepada 11 mata.

“Jika kami bermain seperti malam ini, kami boleh bersaing dengan sesiapa pun,” kata Guardiola.

“Kevin de Bruyne memang menakjubkan malam ini, dia membantu kami mencatat kemenangan.

“Dia memang menakjubkan sejak kami bekerjasama. Komitmennya menakjubkan. Dia pemain luar biasa.”

Liverpool tidak menyertai kejohanan domestik hujung minggu ini apabila menjuarai Piala Dunia Kelab di Qatar, namun pastinya gembira sebaik pulang nanti apabila kekal dengan kelebihan 10 mata ke atas Leicester sebelum kunjungan mereka ke Stadium King Power pada Hari Boxing.

Justeru, City masih kekal sebagai pencabar utama Liverpool untuk menjulang gelaran pertama dalam tempoh 30 tahun meskipun skuad Guardiola mempamerkan aksi kurang memberangsangkan musim ini.

Disiarkan pada: December 22, 2019 @ 8:36am
d