arena

Mbappe, Neymar kembali menggegar

Oleh AFP

KYLIAN Mbappe meledak dua gol untuk mengukuhkan cengkaman Paris Saint-Germain di puncak Ligue 1 dengan kelebihan tujuh mata selepas menang 4-1 ke atas Amiens.

Pemenang Piala Dunia, Mbappe yang meraikan ulang tahun kelahiran ke-21 Jumaat lalu, membuka jaringan pada minit ke-10 disusuli gol Neymar sejurus bermula separuh masa kedua.

Mbappe sekali lagi menemui jaringan pada minit ke-65 sebelum Mauro Icardi melengkapkan kemenangan di Parc de Princes enam minit sebelum tamat permainan.

Jaringan tunggal Amiens dijaringkan Steven Mendoza yang menyaksikan pasukannya tergelincir ke zon penyingkiran.

"Kylian dan Neymar bagus digandingkan bersama, mereka beroleh keyakinan. Neymar mendorong Kylian dan Kylian mendorong Neymar,” kata pengendali PSG Thomas Tuchel.

“Kami bermain sebagai satu pasukan. Cabarannya kini adalah mengekalkan sikap itu.”

Neymar, pemain termahal dunia kembali disenaraikan selepas direhatkan ketika menang Piala Liga ke atas kelab divisyen dua Le Mans.

Disiarkan pada: December 22, 2019 @ 2:19pm
d