arena

Badminton perlu ikut jejak bola dan ragbi

Oleh Ferzalfie Fauzi

PROGRAM Pembangunan Bolasepak Negara (NFDP) dan Program Pembangunan Ragbi (NRDP) adalah contoh terbaik yang perlu ditiru pakai sukan badminton.

Ia berikutan kemerosotan prestasi pemain badminton remaja selepas pulang tangan kosong di Kejohanan Remaja Asia dan Dunia tahun ini.

Ketika ini bola sepak dan ragbi mula menuai hasil di atas program pembangunan remaja mereka.

Begitupun, bekas jaguh perseorangan lelaki negara, Rashid Sidek berkata, untuk melaksanakan program sedemikian ia perlu melihat dari segi peruntukan.

“Memang kalau ikutkan ada peruntukan program pembangunan seperti itu sepatutnya diadakan. Jika tidak ada peruntukan ia agak sukar untuk dilakukan,” katanya dalam sidang media perlawanan akhir Juara Tangkis: Tun Dr Siti Hasmah, di Bangi hari ini.

Menurut pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Atlanta 1996 itu, selain kejohanan peringkat tempatan seperti yang mereka anjurkan, program pembangunan remaja adalah jalan terbaik melahirkan pemain. “Sekarang kita memang bergantung kepada pembangunan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), malah peruntukan juga disalurkan kepada mereka.

“Kita yang di peringkat kelab ini hanya menyalur bantuan tambahan untuk mendapatkan pemain berbakat. Pemain yang kita latih dan mampu menjadi juara boleh diserapkan ke BAM. Kita memang tidak keberatan melepaskan mereka seperti sebelum ini,” katanya.

Disiarkan pada: December 22, 2019 @ 7:27pm
d