arena

TSC sapu bersih

Oleh Azlan Muhammad Zain

TEAM Sapura Cycling (TSC) merangkul empat jersi utama dipertandingkan di Tour de Selangor (TdS) 2019 yang berakhir hari ini.

Pelumbanya dari Australia, Marcus Culey meraih tiga jersi bagi kategori individu (kuning), pecut (hijau) dan bukit (merah) manakala rakan sepasukan, Muhamad Nur Aiman Mohd Zariff dinobatkan pemenang jersi putih selaku pelumba muda terbaik.

Culey mengumpul 15 jam 24 minit 13 saat untuk menjuarai jersi kuning, meninggalkan pemenang tempat kedua, Loic Desriac dari Perancis yang mewakili Bikelife Dong Nai dengan perbezaan 9:53s.

Kejayaan itu membuktikan ketiadaan ayam tambatan TSC musim lalu, Benjamin Dyball yang juga pemenang jersi kuning Le Tour de Langkawi (LTdL) 2019 tidak menimbulkan masalah yang besar kepada pasukan benua negara itu.

TSC turut unggul sebagai pasukan terbaik keseluruhan dari 18 pasukan yang bertanding pada edisi kedua TdS.

Bagaimanapun pesta TSC sedikit terjejas apabila pelumba Terengganu Inc TSG Cycling Team (TSG), Mohd Harrif Saleh meraih kemenangan Peringkat 5 dari Klang ke Shah Alam.

Pakar pecut yang dikenali sebagai Mamat itu membuktikan kemampuan apabila perlumbaan berakhir dalam kelompok besar di Dataran Kemerdekaan sejauh 87.7 kilometer dengan masa 1.58:27s.

Tempat kedua Peringkat 5 diraih Zamri manakala Shafrifat Nandamulya dari PGN Road Cycling Team ketiga.

Disiarkan pada: December 22, 2019 @ 9:28pm
d