arena

Nuraisyah, Juni layak ke Olimpik Tokyo

Oleh Mohd Amin Jalil

PELAYAR negara Nuraisyah Jamil dan Juni Karimah Noor Jamali, mengesahkan slot ke Sukan Olimpik Tokyo 2020, dalam kategori International 470 wanita.

Kedua-dua atlet berusia 23 dan 17 tahun itu layak secara merit menerusi kelayakan Asia selepas mengenepikan pesaing terdekat dari Thailand dan Singapura pada Kejohanan Perahu Layar International 470 Antarabangsa Asia 2019, yang berlangsung di Shenzen, China, berakhir semalam.

Mengumumkan perkara itu, Presiden Persatuan Pelayaran Malaysia (MSA), Datuk Kamaruzzaman Abu Kassim berkata, kedua-dua atlet itu mengikut jejak dua lagi pelayar negara, Khairulnizam Mohd Affendy dan Nurshazrin Mohd Latiff, yang lebih awal melayakkan diri ke Sukan Olimpik Tokyo bagi kategori Laser Standard dan Laser Radial.

Katanya, kejohanan di Shenzen itu adalah sebahagian daripada pentas kelayakan ke Sukan Olimpik Tokyo.

"MSA amat berbangga dengan prestasi dan kejayaan kedua-dua atlet berkenaan kerana saingan ke peringkat Sukan Olimpik begitu sengit.

"Ini satu kejayaan yang bermakna kepada seluruh warga pelayaran bagi tahun ini kerana buat pertama kali kita layak dalam kelas International 470 dan pertama kali juga kita layak dalam tiga kelas ke temasya Olimpik.

"Segala persiapan yang dibuat sebelum ini akhirnya membuahkan hasil dengan berkat kesabaran dan iltizam yang tinggi ditunjukkan pasukan," katanya.

Beliau ditemui selepas menyempurnakan majlis penutup dan penyampaian hadiah Kejohanan Perahu Layar KFC-MILO-MSA Terbuka Kebangsaan Kali Ke-36 2019, di Batu 1, Port Dickson, hari ini.

Sebanyak 257 atlet mewakili 23 pasukan negeri dan kelab perayu layar tempatan serta dari Indonesia, Korea dan Singapura mengambil bahagian pada kejohanan berkenaan yang bermula 18-22 Disember.

Disiarkan pada: December 22, 2019 @ 9:39pm
d