arena

Chelsea jauh lebih baik: Mourinho

Oleh Reuters

PENGENDALI Tottenham Hotspur Jose Mourinho mengakui bekas kelabnya Chelsea jauh lebih baik ketika pasukannya tewas 0-2 dalam aksi Liga Perdana Inggeris awal pagi tadi.

Jurulatih kelahiran Portugal itu mengharungi dua kekalahan dalam enam perlawanan liga sejak mengendalikan Spurs sebaik menggantikan Mauricio Pochettino - kedua-duanya berdepan bekas kelabnya.

Mourinho tidak pernah tewas di laman sendiri terhadap bekas kelabnya dalam mana-mana kejohanan, menang 12 dan seri satu perlawanan, namun bekas pemain tengahnya Frank Lampard benar-benar ‘mengajar’ bekas mentornya dalam bidang kejurulatihan apabila Chelsea mendominasi perlawanan.

Tottenham berpeluang memintas pencabar London mereka ke tangga keempat dengan kemenangan itu tetapi mereka dihukum akibat aksi tidak bermaya.

Barisan tengah Mourinho yang terdiri daripada Eric Dier dan Moussa Sissoko begitu mudah dipintas dan bek kanan Serge Aurier terdedah kepada gol awal Willian pada minit ke-12 manakala barisan penyerangnya bagaikan hilang bisa apabila Harry Kane juga gagal mencipta peluang.

Aksi terburu-buru Paulo Gazzaniga memberikan penalti buat Chelsea sebelum separuh masa kedua yang disempurnakan Willian untuk kedudukan 2-0.

Lebih parah Son Heung-min dibuang padang menyebabkan Tottenham beraksi dengan 10 pemain pada 30 minit terakhir.

Keputusan itu meletakkan Tottenham di tangga ketujuh, enam mata di belakang Chelsea dan Mourinho perlu bangkit jika tidak mahu permulaan optimisnya lebur sebaik bermula Tahun Baru.

“Mereka jauh lebih baik daripada kami pada separuh masa pertama. Tidak sukar untuk saya mengakuinya,” katanya.

“Mereka bermain dengan sistem yang mereka selesa dengannya. Sistem yang digunakan dua tahun lalu bersama Antonio Conte. Ramai pemain mereka selesa dengannya.”

Disiarkan pada: December 23, 2019 @ 8:50am
d