arena

Real gagal rebut peluang

Oleh AFP

REAL Madrid terus gagal merebut peluang untuk memintas Barcelona apabila ketinggalan dua mata di belakang pendahulu La Liga itu sebelum rehat musim sejuk selepas seri tanpa jaringan menentang Athletic Bilbao di Santiago Bernabeu.

Real turut seri 0-0 di Barcelona Khamis lalu namun keputusan terbaru ini memberikan 37 mata kepada mereka di pertengahan musim, manakala Barca mengumpul 39 mata.

Percubaan Toni Kroos terkena palang, jaringan Karim Benzema juga berjaya diselamatkan, begitu juga dengan percubaan Rodrygo dan Vincius Junior pada malam yang cukup mengecewakan di Madrid.

Pertahanan Real Eder Militao pula terpaksa dikeluarkan selepas mengalami kecederaan di bahagian mata dan penggantinya Nacho Fernandez juga hampir menjaringkan gol tetapi terkena tiang.

“Ia bukan kerana nasib malang atau sikap terlalu selesa,” kata Zidane.

“Tidak ada sebab untuk kecewa disebabkan perkara ini, kami perlu kekal tenang dan bangga.

“Kami mencipta banyak peluang dan jika kami terus melakukannya gol pasti akan hadir. Saya bersimpati dengan pemain.

“Sudah tentu ia bagus untuk mereka mendapat lebih; tiga mata daripada tiga perlawanan bukan sesuatu yang hebat.”

Bilbao pula menyaksikan jaringan padu Kenan Kodro di babak pertama tidak dikira kerana ofsaid, dan hampir memecah kebuntuan menerusi Asier Villalibre dalam masa kecederaan.

Disiarkan pada: December 23, 2019 @ 9:45am
d