arena

The Fighters kehilangan Chanturu

Oleh Asrol Awang

FELDA United FC akur terlepas khidmat pemain berpengalaman, S Chanturu apabila pemain tengah itu memutuskan tidak bersama kelab berkenaan.

Ketiadaan Chanturu pasti memberi impak terutama jentera tengah The Fighters selepas kehilangan beberapa pemain yang memilih pasukan baru bagi saingan Liga Malaysia (Liga M) musim depan.

Namun, pengendali kelab itu, Mohd Nidzam Jamil percaya The Fighters mampu untuk mengimbangi ketiadaan pemain berpengalaman dengan kehadiran pemain import.

"Ketiadaan mereka sememangnya memberi kesan dalam mempersiapkan pasukan mengharungi cabaran getir dalam saingan Liga M musim depan.

"Tapi saya percaya dengan menyandarkan pemain sedia ada termasuk Jasazrin Jamaluddin yang juga pemain senior diharap membantu memperkasakan The Fighters," katanya.

Sebelum ini, empat pemain membuat keputusan meninggalkan kelab itu ialah Hadin Azman yang juga kapten pasukan musim ini, Christie Jayaseelan, Arif Fadzillah Abu Bakar dan Norazlan Razali.

Setakat ini, Hadin sudah mengesahkan pasukan baharu yang disertai iaitu Kedah, Arif Fadzillah (Terengganu FC), Norazlan (Melaka United), Christie (PJ City FC) dan Chanturu belum membuat pengumuman.

Bagi menghadapi saingan Lga M musim depan, Felda United mengesahkan empat pemain import bersama kelab itu iaitu Khairul Amri Kamal dari Singapura, Ryutaro Megumi (Jepun), Nicholas Velez (Argentina) dan Nikola Raspopovic (Serbia).

Disiarkan pada: December 23, 2019 @ 3:51pm
d