arena

NUFC sudah sedia

SELEPAS menganjurkan Simposium Bola Sepak Negeri Sembilan (NSFS) 2019 baru-baru ini, Negeri Sembilan United FC (NUFC) bersedia mengorak langkah ke hadapan dengan menyertai kejohanan kompetitif bertaraf “Liga M4” di Negeri Sembilan iaitu Liga Piala Presiden Persatuan Bolasepak Negeri Sembilan (PBNS).

Perkara itu diumumkan oleh Setiausaha Kehormat PBNS, Satwant Singh dalam ucapan penutupnya yang menyatakan hasrat NUFC untuk bertanding di dalam Liga Piala Presiden PBNS pada tahun depan.

Mengulas mengenai pengumuman tersebut, Timbalan Presiden NUFC, Syafiq Kamarullah berharap agar pasukan itu diberi ruang untuk membantu PBNS mempromosikan bola sepak di peringkat negeri selain bertanding secara kompetitif dalam piramid bola sepak Malaysia.

“Semua sedia maklum mengenai proses untuk sesuatu pasukan bertanding di peringkat tertinggi bola sepak negara. NUFC sedia bermula dari bawah dan ia sebahagian daripada perancangan jangka panjang kami.

” Kami ingin bergerak dari peringkat amatur dan akhirnya bertaraf profesional.

“Sama seperti dengan pasukan Negeri Sembilan yang bertanding di Liga Premier, kami juga akan menjadikan Seremban sebagai gelanggang utama kami. Beberapa siri perbincangan dengan pihak kerajaan tempatan, swasta dan komuniti di sini sedang giat dilaksanakan bagi memastikan kami mendapat sokongan yang secukupnya,” tambahnya.

Disiarkan pada: December 24, 2019 @ 1:16pm
d