arena

Nasib Chanturu

Oleh Asrol Awang

DI sebalik bekas rakan sepasukan sudah bersama pasukan baru, nasib berbeza dialami bekas pemain kebangsaan, S Chanturu.

Ini kerana pemain tengah itu masih lagi belum menyarung jersi pasukan baru selepas tidak lagi bersama Felda United FC musim depan.

Chanturu berkata, setakat ini, dia masih mencari pasukan baru untuk meneruskan kerjaya biarpun kebanyakan pasukan sudah melengkapkan senarai pemain.

"Saya masih lagi ingin bermain dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) musim depan.

Setakat ini, saya ada juga bertanyakan beberapa pasukan tetapi tiada maklum balas yang diterima.

"Saya juga tidak kisah bermain sama ada dalam saingan Liga Super atau Liga Perdana musim depan," kata pemain berumur 32 tahun itu.

Sebelum ini, empat bekas rakan sepasukan yang bersama The Fighters musim ini sudah dah menyertai pasukan baru.

Mereka ialah Hadin Azman yang bersama Kedah, Christie Jayaseelan (PJ City), Arif Fadzillah Abu Bakar (Tenrengganu FC) dan Norazlan Razali (Melaka United).

Chanturu memulakan kerjaya pemain profesional bersama Pulau Pinang diikuti Kelantan, Perak, Sarawak, Johor Darul Ta'zim (JDT), Melaka United dan Felda United.

Pencapaian terbaik pemain tengah itu ialah pernah mewakili skuad Harimau Malaya dari 2012 hingga 2016.

Disiarkan pada: December 24, 2019 @ 4:38pm
d