arena

NS sasar dua kelompok terbaik

Oleh BERNAMA

PERSATUAN Bola Sepak Negeri Sembilan (PBNS) menyasarkan kelompok dua pasukan terbaik dalam saingan Liga Perdana 2020 untuk kembali beraksi dalam saingan Liga Super 2021.

Setiausaha Kehormat PBNS, Satwant Singh percaya barisan kejurulatihan dan pemain skuad Rusa mampu merealisasikan sasaran berkenaan selepas membuat perubahan besar-besaran dalam skuad utama bagi menghadapi saingan Liga Malaysia 2020.

“Saya percaya dengan percaturan pasukan Negeri Sembilan untuk musim 2020, ditambah dengan segala pengalaman yang kita ada untuk memastikan prestasi skuad ini terus cemerlang.

“Ini kerana sudah lama kami tinggalkan Liga Super dan sudah tiba masa untuk kita lebih serius memburu slot tersebut pada musim 2021 nanti,” jelas Satwant dalam satu kenyataan dikeluarkan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) hari ini.

Skuad Rusa yang bakal dilatih bekas pengendali skuad Piala Presiden Negeri Sembilan, Sazali Saidon, dilaporkan mengikat tujuh pemain baharu, termasuk dua bekas pemain kebangsaan, Norhafiz Zamani Misbah dan Muhd Shahrom Kalam.

Pasukan berkenaan turut diperkuatkan dengan lima muka baharu, iaitu, bekas penyerang Selangor United, Nazrul Kamaruzzaman, bekas pemain pertahanan Pulau Pinang, Che Safwan Hazman, bekas pemain UKM FC, Mohd Arip Amiruddin, bekas pemain pertahanan UiTM FC, Ahmad Azriddin Rosli, dan bekas pemain skuad Bawah 23 (B-23) kebangsaan, Nur Shamie Iszuan Amin.

Negeri Sembilan yang membuat penampilan terakhir dalam saingan Liga Super pada musim lepas, menduduki tangga keenam daripada 11 pasukan dalam kempen Liga Perdana pada musim ini dengan kutipan 29 mata daripada 20 perlawanan.

Disiarkan pada: December 24, 2019 @ 7:15pm
d