arena

Tak rela nama digugur

Oleh Iskandar Shah Mohamed

MESKIPUN hampir maut, tetapi insiden yang menyaksikan dia terbaring tidak sedarkan diri akibat penangan lawan langsung tidak memadam semangatnya untuk terus ‘bertarung’ di gelanggang.

Sepakan pesilat Filipina, Dines Dumaan yang tepat ke kepalanya ketika saingan Kelas Putra B, temasya Sukan Sea bulan ini bukanlah satu-satunya ‘buah’ yang pernah diterimanya namun bagi Muhammad Faizul M Nasir, itu semua adalah mainan bagi mana-mana atlet yang membabitkan diri dalam sukan berkenaan.

“Kecederaan leher saya sudah hampir 90 peratus sembuh dan saya kini memfokuskan sepenuhnya kepada proses pemulihan terutama rawatan berkaitan gegaran otak,” katanya.

Faizul yang juga pemenang emas Sukan Sea 2015 dan 2017 itu tetap menanam azam untuk terus mewakili negara ke mana-mana kejohanan dan pertandingan terdekat yang menjadi sasarannya ialah Kejohanan Pencak Silat Dunia yang bakal berlangsung di Sarawak, Ogos tahun depan.

Untuk itu, Faizul tidak rela namanya digugurkan kem silat kebangsaan dan berharap namanya akan tetap disenaraikan selepas ini.

“Peluang untuk saya kembali masih ada dan saya mahu pulih sepenuhnya untuk menjalani latihan, sekali gus beraksi di pentas kompetitif,” katanya kepada Arena Metro.

“Menerusi pemantauan berterusan doktor, saya berharap semuanya berjalan lancar dan berharap saya akan tersenarai untuk bersaing terutama pada Kejohanan Pencak Silat Dunia di Sarawak, Ogos tahun depan,” katanya.

Atlet berusia 31 tahun kelahiran Selangor itu terlepas peluang menyertai Kejohanan Pencak Silat Asia di Yanji, China yang bermula esok.

“Selain akur dengan arahan doktor, saya perlu memikirkan risiko sekiranya mengalami kecederaan lanjut ketika kejohanan berkenaan.

“Saya mendoakan semua rakan pesilat dapat melakukan yang terbaik untuk meraih kejayaan buat negara,” katanya.

Cabaran yang julung kali berlangsung di Yanji itu bakal digalas seramai 27 pesilat termasuk dua jaguh negara, Al Jufferi Jamari dan Siti Rahmah Mohamed Nasir.

Disiarkan pada: December 25, 2019 @ 4:45am
d