arena

Lima pasukan gagal bayar gaji

Oleh Syazwan Msar

SEKURANG-kurangnya lima pasukan masih gagal menjelaskan bayaran tunggakan gaji sejak Oktober lalu dengan jumlah keseluruhan mencecah ratusan ribu ringgit. Lebih memburukkan keadaan apabila ada antara lima pasukan terbabit ketika ini rancak membuat pembelian pemain untuk menghadapi saingan liga musim depan sekali gus sanggup mengenepikan kebajikan anak buah demi mengejar kepentingan masing-masing.

Antara pasukan yang dilihat gagal berbuat demikian adalah Pulau Pinang apabila 17 pemain yang dibuang pasukan terbabit sehingga kini tidak mendapat gaji Oktober dan November seperti yang dijanjikan pengurusan.

Bekas pemain pasukan terbabit Mohd Rahizi Mohd Rasib berkata, pengurusan hanya pandai berjanji apabila pembayaran yang sepatutnya dijelaskan hujung bulan lalu sehingga kini masih lagi gagal dilunaskan.

Mohd Rahizi yang berasal dari Shah Alam, Selangor berkata, lebih menyakitkan hati apabila melihat Pulau Pinang ghairah membuat pembelian pemain termasuk mengambil tonggak import bagi menguatkan pasukan untuk saingan liga musim depan.

“Ada antara kami terpaksa tunda perkahwinan berikutan tidak mendapat lagi tunggakan gaji malah sekarang ini pun perlu berjimat daripada segi perbelanjaan harian.

“Mereka janji nak bayar hujung November dan kali terakhir mahu membayar pada 18 Disember lalu namun sehingga kini gagal berbuat demikian,” katanya, ketika dihubungi Arena Metro.

Nasib sama turut membelenggu pemain dan pengurusan Melaka apabila ada antara mereka tidak dibayar gaji dalam tempoh tiga bulan sejak September lalu.

Perkara terbabit disahkan barisan kejurulatihan pasukan terbabit yang dikenali sebagai Hisham apabila dia kini tidak mahu lagi mempercayai janji manis pengurusan untuk menjelaskan bayaran tunggakan gaji.

Hisham berkata, pemain dan barisan kejurulatihan sekarang ini hanya mengambil sikap berdiam diri kerana mahu menjaga ‘aib’ pasukan walaupun sudah beberapa kali janji dimungkiri.

Sementara itu, tiga pasukan lain yang mempunyai tunggakan gaji masing-masing berpengkalan di Pantai Timur dan satu lagi adalah skuad yang baharu saja dinaikkan pangkat ke Liga Super ketika saingan musim baharu Liga Malaysia (Liga M) hanya berbaki dua bulan sahaja lagi.

Disiarkan pada: December 25, 2019 @ 12:25pm
d