arena

The Cops sandar kekuatan anggota

Oleh Syazwan Msar

PENDATANG baharu Liga Super, Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengambil sikap tenang dalam pemilihan barisan pemain pada musim depan dengan terus memberikan kepercayaan kepada pegawai dan anggota polis untuk membarisi skuad The Cops.

Pengurus PDRM, Datuk Khalil Azlan Chik berkata, pihaknya tidak mahu terburu-buru membuat pembelian pemain berstatus bintang dan lebih berminat menunggu saat akhir untuk menyerap mereka dalam pasukan.

Beliau berkata, PDRM akan terus mengekalkan 60 peratus pemain dikalangan anggota dan pegawai Polis selain percaya skuad berkenaan boleh mencipta kejutan terutama bersaing dengan pasukan berstatus gergasi.

“Perkara penting perancangan dalam pasukan kerana sedia maklum sememangnya pasukan lain kuat namun tidak bermakna kami tidak boleh lawan.

“Hasrat saya tidak semestinya perlu berbelanja berlebihan kerana perkara penting adalah membangunkan pasukan daripada bawah hingga mampu meraih kejayaan.

“Kami belum memutuskan lagi pemain yang akan diambil namun ciri utama yang perlu ada, mereka yang bermain untuk pasukan adalah perlu serasi atau mampu bersama dengan skuad The Cops nanti,” katanya.

Khalil berkata, perlantikan Ketua Jurulatih baharu Ishak Kunju Mohamad turut diharapkan mampu melakukan perubahan dan mencipta kegemilangan untuk pasukan PDRM.

“Kami masih mengharapkan penajaan daripada syarikat swasta dalam memperkukuhkan lagi pasukan bagi membolehkan menyediakan barisan pemain terbaik untuk musim depan,” kata Khalil.

Disiarkan pada: December 25, 2019 @ 2:52pm
d