arena

Peminat bola sepak boleh bantu Melaka

Oleh Nazri Abu Bakar

PERSATUAN Bolasepak Melaka United (MUSA) menyeru peminat bola sepak di negeri ini menyahut saranan presiden MUSA, Damian Yeo untuk menderma kepada pasukan.

Penolong pengurus Melaka, Syahrul Nizam Shamsuddin berkata, usaha untuk mendapatkan derma orang ramai menerusi derma awam terbabit salah satu usaha menyelesaikan masalah kewangan terdahulu skuad berkenaan.

Katanya, idea presiden itu adalah bernas untuk kebaikan persatuan bagi menangani isu gaji tertunggak 2019.

Menurutnya, sokongan peminat setia, individu dan umum mampu mengatasi isu sebelum ini dalam masa sama menampilkan semangat jitu penyokong kepada pasukan.

"Tidak timbul masalah kewangan bagi perbelanjaan musim 2020 yang kini membabitkan persediaan rapi skuad berkenaan.

"Mungkin salah anggap umum bahawa derma awam terbabit bagi membantu persediaan pasukan untuk musim depan," katanya.

Beliau berkata, terpulang kepada orang ramai untuk menderma walaupun dengan jumlah yang kecil untuk faedah pasukan.

Damian Yeo sebelum ini memuat naik status di media sosial meminta derma awam untuk pasukan itu

Syahrul berkata pelbagai reaksi orang ramai berkaitan perkara berkenaan dan Damian juga sudah menjelaskan ianya untuk menyelesaikan hutang sebelumnya dan bukan bagi pentas pertandingan Hijau Putih untuk musim akan datang.

Disiarkan pada: December 25, 2019 @ 5:44pm
d