arena

Giroud intai perpindahan bulan depan

Oleh Agensi

OLIVIER Giroud meragui masa depannya di Chelsea, berkata semakin jelas dia akan menuju pintu keluar di Stamford Bridge pada bulan depan.

Bekas penyerang Arsenal yang sering menghabiskan masa di bangku simpanan pada musim ini selepas kemunculan Tammy Abraham yang menyinar di barisan depan sejak diberi peluang oleh Frank Lampard.

Bintang Perancis mendapati sukar untuk mendapat tempat bermain dalam kesebelasan utama, tampil hanya tujuh kali dalam semua kejohanan - hanya mencetak nama sebagai penjaring dengan satu gol.

Dan pemenang Piala Dunia percaya masanya di Bridge sudah berakhir, berkata pertukaran adalah jawapan kerana dia tidak mempunyai masa yang cukup untuk membuktikan kemampuannya.

Bercakap kepada Le Dauphine Libere, dia mengakui akan berbincang dengan Lampard untuk mendapat penjelasan mengenai masa depannya dan memohon untuk meninggalkan kelab itu.

“Ia cukup sukar untuk diperkatakan di Chelsea,” katanya.

“Saya akan berbincang dengan jurulatih. Perubahan perlu, akan ada perubahan kerana saya tidak mempunyai banyak masa untuk membuktikan kemampuan di atas padang.”

Giroud yang tiba di Liga Perdana selepas memenangi Ligue 1 Perancis bersama Montpellier pada 2012, berkata kembali ke Perancis adalah salah satu daripada pilihan.

“Buat masa ini, saya pemain Chelsea. Saya masih mempunyai beberapa perlawanan untuk bermain di sini sebelum jendela perpindahan pemain dibuka pada 1 Januari.

“Kemudian kami akan duduk di satu meja dan cari keputusan terbaik untuk saya. Perancis adalah salah satu jawapannya.”

Kontrak Giroud di Stamford Bridge tamat pada musim panas akan datang.

Disiarkan pada: December 26, 2019 @ 8:57am
d