arena

Boikot pilihan terakhir

Oleh Saiful Affendy Sapran

KUALA LUMPUR: Memboikot Sukan Para Asean Filipina adalah pilihan terakhir yang mungkin wajar dilakukan selepas tuan rumah menangguhkan temasya dwitahunan itu yang sepatutnya bermula 18 hingga 24 Januari.

Filipina selaku tuan rumah, menangguhkan temasya berkenaan kepada Mac atas alasan tidak mempunyai kewangan yang cukup.

Presiden Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) yang juga Ketua Kontinjen ke Sukan Para Asean, Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin berkata, tindakan memboikot itu sebagai menggambarkan rasa tidak puas hati terhadap keputusan penganjur Sukan Para Asean Filipina (PHILAPGOC) yang menangguhkan temasya itu di saat akhir.

“Saya rasa jika perlu tarik diri, maka ia mungkin boleh dilakukan sebagai menunjukkan rasa tidak puas hati. Bagaimanapun, pandangan secara holistik daripada pelbagai pihak perlu dilakukan terlebih dulu. Kita tidak boleh biarkan Filipina melakukan keputusan secara sesuka hati mereka,” katanya.

Megat bagaimanapun berkata, pihaknya akan ke Bangkok pada 6 dan 7 Januari ini untuk mengadakan perbincangan bersama Persekutuan Sukan Para Asean (APSF) terlebih dulu.

“Di pihak MPM kami akan cuba sedaya upaya mendesak supaya temasya itu dilangsungkan mengikut tarikh asal. Jika tidak, kami dan beberapa wakil negara lain akan cuba menuntut ganti rugi di atas segala kerugian yang dialami oleh kontinjen negara,” katanya.

Jelas beliau lagi, penangguhan itu sepatutnya tidak berlaku kerana ia akan menjejaskan persiapan atlet terutama yang bekerja dan sedang menuntut selain perlu menyertai kejohanan lain pada Mac.

“Pihak kerajaan juga pastinya menanggung kerugian berjuta ringgit berikutan penangguhan ini,” katanya.

Minggu lalu, APSF menerusi satu kenyataan menyatakan kekurangan bajet dan kelewatan pengeluaran dana daripada Suruhanjaya Sukan Filipina (PSC) kepada PHILAPGOC menjadi punca temasya dwitahunan itu terpaksa ditangguhkan.

Disiarkan pada: December 27, 2019 @ 5:30am
d