arena

Guardiola masih harapkan sentuhan Aguero

Oleh AFP

PEP Guardiola percaya sukar mencari pengganti Sergio Aguero dengan penyerang Manchester City itu memasuki tempoh 18 bulan terakhir dalam karier gemilang di bola sepak Inggeris.

Penyerang Argentina itu dalam proses pemulihan daripada kecederaan paha dan dijangka bertindak sebagai pemerhati apabila juara Liga Perdana Inggeris itu berkunjung ke Wolves pagi esok.

Kecederaan itu memaksa pemain berusia 31 tahun itu melupakan kempen mempertahankan kejuaraan sejak akhir November dan memberi bayangan kepada Guardiola situasi bakal dihadapinya apabila kontrak Aguero berakhir nanti.

Pengendali City itu sedar dia tidak mampu memujuk Aguero untuk menukar rancangannya yang ingin menamatkan karier di tanah airnya, dan Guardiola perlu bersedia mencari pengganti yang setakat ini sudah meledak 244 kali untuk kelab.

“Saya boleh katakan ia antara tugas paling sukar. Sergio sukar dicari ganti,” kata Guardiola.

“Kami mempunyai seorang lagi penyerang luar biasa, Gabriel Jesus dan mungkin seorang lagi apabila Sergio pergi. Tetapi dia sukar dicari ganti.”

Aguero memainkan peranan penting ketika City muncul juara England buat pertama kali dalam tempoh 44 tahun apabila gol kemenangan lewat permainan ke atas QPR mengesahkan kejuaraan Liga Perdana 2011/12.

“Antara detik paling penting bagi kelab ini, lebih penting pada suatu hari kelab ini memenangi Liga Juara-Juara, ia detik apabila Sergio menjaringkan gol itu, berdepan QPR untuk menang kejuaraan pertama Liga Perdana 2012 kemudian saya tidak tahu berapa banyak tahun lagi,” kata Guardiola.

“Detik itu lebih bermakna berbanding empat kejuaraan dalam satu musim atau segalanya. Dan dia adalah lelaki itu. Lebih daripada segalanya, lebih daripada jaringan yang dilakukan buat kelab ini.

“Begitupun, lambat laun ia tetap akan berlaku (Aguero pergi) dia akan menentukan bila.”

Jesus dilihat sebagai pengganti Aguero tetapi Guardiola masih berharap dapat melihat bintang Argentina itu terus beraksi bersama City melangkaui tahun 2021.

Disiarkan pada: December 27, 2019 @ 11:34am
d