arena

Ujian getir nanti Akmal

Oleh Meor Riduwan Meor Ahmad

TANGGUNGJAWAB besar menanti bekas penyerang kebangsaan, Akmal Rizal Ahmad Rakhli apabila diikat pasukan Pulau Pinang sebagai penolong ketua jurulatih.

Lega hasratnya untuk membimbing skuad senior tercapai, dia bertekad membantu Manzoor Azwira Abdul Wahid membentuk skuad terbaik untuk musim 2020.

Katanya, dia sedar harapan pengurusan dan penyokong cukup tinggi apabila pasukan Harimau Kumbang mempamerkan kebangkitan baik musim ini dan hampir layak ke Liga Super.

“Kontrak saya bersama Pulau Pinang selama setahun. Harapan saya untuk membantu ketua jurulatih dan barisan kejurulatihan bagi membentuk skuad terbaik untuk musim depan.

“Saya setuju bersama P Pinang kerana ketua jurulatih (Mazoor Azwira) sendiri mengajak saya untuk bekerjasama dengan beliau.

“Saya kenal rapat dengan beliau dan pernah bermain bersama ketika dalam pasukan Kedah dan Kuala Muda Naza,” kata bekas ketua jurulatih skuad Piala Emas Raja-Raja (PERR) 2019 Kedah itu.

Arena Metro sebelum ini melaporkan Akmal Rizal mencari kontrak baru dengan mana-mana pasukan bagi membimbing pasukan belia, presiden ataupun skuad senior.

Akmal Rizal, 37, yang lulus lesen A kejurulatihan bola sepak pada Jun lalu pernah menjadi penolong jurulatih Piala Belia Kedah pada 2017 selain membimbing pasukan tempatan dalam Liga Bola Sepak Kedah serta skuad bawah 17 tahun (B-17) Perlis tahun lalu.

“Perasaan saya gembira dan teruja kerana tanggungjawab ini cukup besar. Ini juga pengalaman pertama saya sebagai jurulatih untuk pasukan Liga Perdana,” katanya yang memiliki akademi bola sepak sendiri iaitu Akmal Rizal Football Academy.

Pulau Pinang menduduki tangga ketiga Liga Perdana 2019 dengan mengumpul 30 mata hasil lapan kemenangan dan masing-masing enam seri dan tewas daripada keseluruhan 20 perlawanan.

Disiarkan pada: December 27, 2019 @ 7:13pm
d