arena

Selangor tak guna import

Oleh Meor Riduwan Meor Ahmad

SELANGOR mengesahkan tidak akan menggunakan khidmat pemain import bagi mengharungi Liga Perdana Futsal Malaysia (MPFL) 2020.

Sebaliknya juara sulung MPFL 2019 itu terus meletakkan kepercayaan kepada kebolehan bakat tempatan untuk memberi cabaran dalam liga futsal kebangsaan yang diramal lebih sengit dengan pertambahan 12 pasukan berbanding sembilan musim ini.

"Kekuatan pasukan futsal bukan terletak pada seorang individu saja tapi semangat berpasukan," kata pengurus pasukan futsal lelaki Selangor, Mimi Afzan Afza.

Bulan lalu, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menerusi Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif kali ke-9 bagi penggal 2017-2021 memberi lampu hijau penggunaan seorang import bagi setiap pasukan bersaing dalam MPFL 2020.

Menurut Mimi Afzan, persiapan Selangor berjalan lancar dengan 'bedah siasat' dilakukan bagi menilai prestasi semua pemain.

"Beberapa pemain dikekalkan dan ada digugurkan selain kita juga serap lima muka baru bagi memperkuat pasukan. Pemain digugurkan ini banyak potensi tapi tidak dapat banyak peluang bermain jika kekal bersama Selangor berbanding diserap ke pasukan lain.

"Selain itu tiga pemain senior turut menarik diri termasuk kapten, Ahmad Faizal Abdul Karim atas sebab kecederaan dan tak sempat pulih menjelang musim 2020," katanya dihubungi. Beliau berkata, barisan kejurulatihan turut diperkemas dengan melantik Firdaus Razali membimbing penjaga gol serta mengekalkan ketua jurulatih, Addy Shairullyzam Mohd Shafiee. Menurutnya, pihaknya melakukan persediaan awal dengan meneruskan latihan dua kali seminggu selepas berakhir saingan MPFL musim ini selain mengadakan kejohanan futsal bawah 18 tahun bagi mencungkil bakat baru.

"Saya jangka saingan lebih sengit musim depan justeru kami buat persediaan awal ," katanya. Liga Futsal dijadual bermula pada Mac 2020 dengan 12 pasukan lelaki dan lapan wanita bertanding merebut kejuaraan Piala Futsal.

Disiarkan pada: December 28, 2019 @ 1:19pm
d