arena

Ada potensi 'pergi jauh'

Oleh Ferzalfie Fauzi

PEMENANG pingat emas pertama e-Sukan buat kontinjen negara di Sukan Sea, Dr Yew Weng Kean yakin Malaysia akan terus meraih lebih banyak kejayaan di temasya berkenaan yang bakal berlangsung di Vietnam, dua tahun lagi.

Menurutnya, dia yakin bahawa acara berkenaan akan terus dipertandingkan dan percaya atlet Malaysia berpotensi untuk meraih lebih banyak pingat emas.

“Selepas pulang dari Manila, tugas saya adalah berkongsi pengalaman yang diraih sepanjang Sukan Sea. Ini sangat penting untuk pemain kita menyerlah bukan saja di Sukan Sea tapi di Sukan Asia dan Olimpik,” katanya pada Majlis Sambutan Pemenang Pingat Emas e-Sukan di M8Hexa Esports Hub, Kota Warisan semalam.

Ujar pensyarah Universiti Heriot Watt itu, memang dia bangga dapat membawa pulang emas pertama e-Sukan namun berharap ia bukan pingat emas terakhir malah lebih banyak lagi bakal diraih selepas ini.

“E-Sukan akan dipertandingkan di Vietnam, cuma kita tidak tahu permainan apa bakal diketengahkan. Ia terpulang kepada tuan rumah dan mereka akan memilih permainan yang memberi kelebihan kepada mereka.

“Kita akan lihat dulu permainan apa yang bakal dipertandingkan, jika ada potensi untuk terus mewakili negara saya akan berikan yang terbaik. Jika tidak saya akan menawarkan diri menjadi jurulatih,” kata atlet permainan Hearthstone itu.

Ditanya mengenai kehidupan sehariannya selepas berjaya membawa pulang emas Sukan Sea, Dr Yew mengakui bahawa semuanya tidak berubah dan dia tetap melakukan tugasan harian seperti biasa.

“Tidak ada banyak berubah, saya masih lagi yang dulu. Paling penting kemenangan sebelum ini adalah untuk Malaysia dan kita sama-sama raikan,” katanya.

Dr Yew berjaya meraih emas Hearthstone di Sukan Sea Filipina selepas menumpaskan Werit Popan dari Thailand 3-1 dalam perlawanan akhir.

Disiarkan pada: December 29, 2019 @ 6:00am
d