arena

West Ham pecat Pellegrini

Oleh Reuters

SELEPAS 18 bulan mengendalikan West Ham, Manuel Pellegrini akhirnya dipecat selepas pasukannya tewas 1-2 kepada Leicester City di tempat sendiri dalam aksi Liga Perdana, awal pagi tadi.

Kekalahan kali kedua berturut-turut selepas tewas kepada Crystal Palace pada Boxing Day menghumbankan West Ham ke kedudukan keempat dari bawah, hanya satu mata di atas zon penyingkiran.

Bekas pengurus yang menjulang gelaran liga bersama Manchester City, Pellegrini mengemudi West Ham ke tempat ke-10 musim lalu dan menduduki seketika kelompok empat teratas pada awal kempen musim ini.

West Ham mengeluarkan kenyataan dalam laman web kelab, awal pagi tadi.

"Kami dengan berat hati terpaksa membuat keputusan ini,” kata pengerusi bersama, David Sullivan said.

"Manuel seorang budiman dan kami berbesar hati dapat bekerjasama dengan pengurus seperti beliau tetapi jelas perubahan perlu dilakukan bagi memastikan kelab kembali ke landasan sepatutnya seiring dengan hasrat kami musim ini.

"Kami berasakan keputusan perlu diambil segera bagi memastikan pengurus baharu memiliki masa untuk mencapai sasaran kelab.”

Pellegrini pengurus keenam dalam saingan liga utama yang tersingkir musim ini selepas Mauricio Pochettino dan Unai Emery di Tottenham Hotspur dan Arsenal.

Kelab itu belum mengumumkan siapa akan mengambil alih tugas dalam aksi penting menentang Bournemouth di Stadium London pada hari Tahun Baru.

West Ham melabur sekitar 150 juta pound (RM809 juta) sejak Pellegrini mengendalikan pasukan termasuk membeli penyerang Perancis, Sebastien Haller dari Eintracht Frankfurt dan pemain Sepanyol, Pablo Fornals dari Villareal.

Pada peringkat awal, segalanya tampak sempurna apabila mereka tidak tewas enam perlawanan selepas kalah kepada Manchester City pada aksi pembukaan.

Tetapi selepas tewas kepada Manchester United di tempat sendiri pada 28 September, mereka hanya menang dua kali dalam 13 aksi terakhir.

Disiarkan pada: December 29, 2019 @ 7:19am
d