arena

Martial, Rashford lonjak Red Devils

Oleh Reuters

MANCHESTER United melonjak ke tangga kelima Liga Perdana selepas jaringan Anthony Martial dan Marcus Rashford memberikan kemenangan 2-0 di Burnley dalam aksi Liga Perdana awal pagi tadi dan kini hanya satu mata di bawah slot Liga Juara-Juara.

Skuad Ole Gunnar Solskjaer menghampiri kelompok empat teratas menjelang Tahun Baru menerusi gandingan mantap Martial dan Rashford selain prestasi tidak konsisten pasukan tuan rumah.

Kemenangan itu menamatkan 14 perlawanan mereka tanpa rekod bersih dan yang pertama sejak Februari lalu walaupun ketumpulan jentera serangan Burnley menjadikan tugas United lebih mudah.

Jentera tengah United tampak tempang dengan ketiadaan Paul Pogba yang masih dalam proses pemulihan dan direhatkan selepas dua kali beraksi sebagai pemain gantian dalam aksi sebelum ini selain Scott McTominay yang menurut Solskjaer terpaksa berehat empat minggu susulan kecederaan lutut.

Pengendali dari Norway itu terpaksa menurunkan Nemanja Matic namun United tetap mampu mengancam kubu Burnley.

Rashford memaksa penjaga gol, Nick Pope melayangkan badan menyelamatkan sepakan percuma dan sekali lagi terkena tiang sebelum rehat manakala percubaan Martial di selamatkan di atas garisan gol oleh Phil Bardsley pada minit ke-33.

Penyerang Perancis itu memecah kebuntuan jaringan seminit sebelum rehat apabila dia mudah menolak bola ke gawang selepas mendapat hantaran Andreas Pereira yang merampas bola di kaki pertahanan, Charlie Taylor.

Skuad Sean Dyche bergelut mencipta peluang tetapi tampil lebih garang pada babak kedua dan David de Gea menyelamatkan rembatan rendah Bardsley pada minit ke-68.

Tetapi selepas bertungkus lumus menahan asakan tuan rumah, United melengkapkan kemenangan pada masa kecederaan menerusi Rashford hasil serangan balas pantas dimulakan Dan James.

United menuju ke Tahun Baru dengan dua kemenangan berturut-turut selepas menewaskan Newcastle United 4-1 pada Boxing Day.

"Kami mahu masuk ke kelompok empat teratas dan makin menghampirinya. Pemain saya memberikan tindak balas baik selepas tewas kepada Watford, saya cabar mereka dan mereka menyahutnya, jadi saya sangat gembira dengan pemain saya.”

Disiarkan pada: December 29, 2019 @ 7:57am
d