arena

Murray tarik diri Terbuka Australia

Oleh Reuters

ANDY Murray menarik diri daripada Terbuka Australia bulan depan susulan kecederaan pinggul, umum pihak pengurusan juara tiga kali Grand Slam itu hari ini.

Bekas pemain nombor satu dunia itu yang kembali menyerlah selepas menjalani pembedahan pangkal paha tidak berhasrat ke Melbourne selepas kecederaan dialami pada penghujung musim tidak pulih sepenuhnya.

Murray yang berlatih di atas gelanggang minggu ini bakal terlepas Grand Slam bemula 20 Januari-2 Februari dalam kejohanan yang menyaksikan dia tewas lima kali pada final dan tidak beraksi untuk Britain pada Piala ATP di Australia bermula 3 Januari.

Pasukan pengurusannya dalam emel berkata: “Memandangkan jadual agak ketat, pihak pengurusan mengambil keputusan untuk tidak tergesa-gesa jadi dia akan terus berlatih dan memulihkan kembali kecergasan bulan depan."

Pada Terbuka Australia tahun lalu, Muray mengalirkan air mata ketika sidang akhbar apabila memberitahu kepada wartawan mengenai kesakitan ditanggung akibat kecederaan pangkal paha.

Bagaimanapun, pemain berusia 32 tahun itu kembali bangkit selepas pulih pembedahan pangkal paha 11 bulan lalu dan kini menduduki tangga ke-125 dunia.

Selepas beraksi secara kompetitif dalam acara perseorangan, dia menjuarai Terbuka Eropah di Antwerp, kejayaan pertamanya dalam masa dua tahun.

Bagaimanapun, pemain Scotland itu tidak beraksi sejak perlawanan pembukaan final Piala Davis di Madrid bulan lalu selepas kecederaan pinggulnya melarat.

Murray kini berehat sehingga Februari dengan kejohanan pertama bakal disertai ialah Open Sud de France di Montpellier.

Disiarkan pada: December 29, 2019 @ 9:26am
d