arena

Jangan asyik nak bincang aje - Norhafiz

Oleh Mohd Amin Jalil

PEMAIN Negeri Sembilan, Norhafiz Zamani Misbah sedia mengadakan perbincangan lanjut dengan bekas majikannya, Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) bagi menyelesaikan isu tunggakan gaji.

Bekas pemain kebangsaan itu berkata, walaupun perbincangan mengenainya sudah diadakan beberapa kali sebelum ini, namun tiada kesepakatan dapat dicapai sehingga ke hari ini.

"Jika KAFA hendak mengadakan perbincangan baharu, saya tiada masalah tapi jangan sekadar berbincang semata-mata kerana saya sudah lama memberi peluang dan ruang.

"Saya sudah menggunakan segala prosedur baik secara rundingan dalaman dan saluran rasmi, malah hampir tiga tahun saya menunggu (bayaran tunggakan gaji) tetapi sampai sekarang tiada penyelesaian.

"Saya berasa kecewa kerana sistem perundangan dan peraturan bola sepak Malaysia ternyata boleh dimanipulasi sesuka hati," katanya di Seremban, hari ini.

Pemain berpengalaman itu mengulas mengenai rancangan KAFA untuk mengatur pertemuan dengannya dalam masa terdekat bagi mencari kata sepakat baharu dalam usaha menyelesaikan isu tunggakan gaji.

Setiausaha Agung KAFA, Hussin Deraman dalam kenyataannya berkata, bayaran RM15,000 yang dibuat sebelum ini kepada pemain itu salah satu usaha diambil untuk menyelesaikan perkara berkenaan.

Bagaimanapun pemain pertahanan terbabit memulangkannya semula kepada KAFA kerana mendakwa tiada persetujuan dicapai untuk sebarang pengurangan atau bayaran secara ansuran membabitkan tunggakan gajinya berjumlah lebih RM80,000.

Norhafiz Zamani berharap KAFA dapat selesaikan perkara itu secepat mungkin dan dapat dimuktamadkan sepenuhnya termasuk juga pemain lain.

Disiarkan pada: December 29, 2019 @ 1:25pm
d